MELAKA TENGAH: Gelombang kedua banjir di Melaka semakin memburuk selepas daerah Melaka Tengah turut dilanda bencana berkenaan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Left Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat ini seramai 507 mangsa melibatkan 134 keluarga dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, daripada lapan PPS itu masing-masing tujuh di daerah Alor Gajah dan satu PPS di daerah Melaka Tengah.

“Buat masa ini kesemua 507 mangsa itu membabitkan daerah Alor Gajah dan bagi daerah Melaka Tengah masih lagi dalam proses pendaftaran.

"Jumlah mangsa tertinggi buat masa ini ialah di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Jelatang dengan 259 mangsa, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan (168), PPS Balai Raya Gadek(33) dan PPS Surau Kampung Jeram (6).

"PPS SMK Lubok China pula menempatkan 18 mangsa dan SK Belimbing Dalam seramai 23 mangsa manakala SK Alor Gajah 1 dan SK Krubong dalam proses pendaftaran," katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut katanya, antara kawasan yang teruk terjejas melibatkan Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Pengkalan dan Kampung Panchor.

Selain itu, ia turut melibatkan Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, Kampung Jeram, Kampung Belimbing, Kampung Pulau dan Kampung Lanjut Manis di Krubong.

Dalam pada itu, tinjauan Astro AWANI turut mendapati beberapa jalan utama di sekitar daerah Alor Gajah juga telah ditutup selepas berlaku limpahan air sungai.

Bagaimanapun cuaca didapati baik di semua daerah di negeri ini pada sebelah petang.